Ahad, 9 Februari 2025

Anak curi barang kemas ibu bernilai RM600,000 jual semula dapat RM36


Seorang remaja perempuan di China telah mencuri barang kemas milik ibunya bernilai ¥1 juta (RM609,000) dan menjualnya semula pada harga ¥60 (RM36).


Menurut portal South China Morning Post, remaja itu kemudiannya membeli subang bibir dan anting-anting menggunakan hasil jualan tersebut.


Antara barang kemas yang diambil termasuk gelang jed, rantai emas dan batu permata yang semuanya dijual di sebuah pasar tempatan.


Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibunya di Balai Polis Wanli, di Biro Keselematan Awam Putou.


Remaja terbabit yang dipercayai sedang mengalami fasa 'pemberontakan remaja' menganggap barang kemas itu palsu dan menjualnya untuk mendapatkan wang saku.


"Saya tidak tahu mengapa dia menjual barang kemas itu tetapi ada memberitahu dia perlukan wang. Bila saya tanya berapa, dia hanya jawab ¥60 (RM36).


"Saya tanya untuk apa dan dia beritahu mahu membeli subang bibir kerana melihat seseorang memakainya dan fikir ia kelihatan menarik.


"Dia beritahu subang bibir berharga ¥30 (RM18) dan penjual akan beri sepasang anting-anting tambahan pada harga ¥30, jadi jumlahnya ¥60 Yuan," kata si ibu kepada pegawai polis.


Susulan laporan itu, polis segera melancarkan siasatan sebaik sahaja menerima laporan dengan meneliti rakaman kamera pengawasan dan berkoordinasi dengan pengurusan pasar awam itu.


Difahamkan, mereka berjaya mengesan dan mendapatkan semula barang-barang kemas yang telah dijual sebelum diserahkan semula kepada ibu remaja tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Ibu kepada remaja berkenaan membuat laporan polis selepas mendapati anaknya mencuri barang kemasnya. - Foto Handout.


EmoticonEmoticon