Isnin, 6 Januari 2025

Wanita rosakkan perabot rumah tunang berang mas kahwin 'ciput'


Seorang wanita di Phon Charoen, wilayah Bueng Kan di Thailand merosakkan harta benda rumah tunangnya kerana berang tidak diberikan mas kahwin sebanyak 150,000 baht (RM20,000) seperti yang diminta, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Wanita dikenali sebagai Wanida, 22, menyelongkar kediaman bakal suaminya semalam, selepas Wasan, 23, hanya bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht (RM6,500).


Dalam keadaan marah, Wanida memecah masuk rumah Wasan dan merosakkan harta benda lelaki itu sehinggakan ada perabot yang patah dan pelbagai barangan pecah.


"Dia memukul saya tetapi saya tidak melawan. Dia masih belum meminta maaf kepada saya dan saya tidak mahu perkara ini menjadi tatapan umum.


"Saya hanya mahu dia membayar ganti rugi atas kerosakan itu, dan mengenai rancangan kami untuk berkahwin, ia masih belum diputuskan," kata Wasan.


Tambah Wasan, dia sebelum itu bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht tetapi Wanida meminta 150,000 baht.


"Bagaimanapun, perasaan saya terhadap dia tidak berubah," katanya.


Sementara itu, nenek Wasan, Boonmee berkata, dia merancang untuk membuat laporan polis ke atas Wanida bagi kerosakan yang dibuat terhadap harta benda cucunya. - Sumber The Thaiger.


Keadaan perabot rumah Wasan yang diterbalikkan. - Foto Khaosod.


EmoticonEmoticon