Seorang lelaki di Indonesia terkejut apabila duit syiling yang disimpan di dalam tong drum hampir lapan tahun kini mencecah 70 juta rupiah (RM18,970), lapor portal berita Tribun Jatim hari ini.
Kejadian berlaku di Sukabumi, wilayah Jawa Barat pada Jumaat lalu (24/1/2025).
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @metro_tv memaparkan lelaki bernama Sadikin, 34, warga Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat mengeluarkan semua duit syiling daripada tong drum bersama ahli keluarganya.
Menurut Sadikin, syiling tersebut merupakan tabungan yang disimpan sejak akhir tahun 2016.
Lebih mengejutkan, jumlah keseluruhan syiling tersebut mencecah 70 juta rupiah (RM18,970) lebih daripada cukup untuk membayar wang muka pembelian rumah.
"Kami mengira syiling dari pukul 7 pagi hingga 5 petang (waktu tempatan).
"Syiling ini akan ditukarkan di bank. Ia juga digunakan sebagai modal tambahan untuk bengkel saya," tambahnya.
Pada mulanya perniagaan bengkelnya ketika itu lengang membuatkan Sadikin termenung sehingga melihat kewujudan tong drum yang tidak digunakan di bengkelnya.
Bermula dari situ, Sadikin mengambil inisiatif menggunakan drum tersebut sebagai simpanan syiling.
Dalam video viral pada hari Isnin (28/1/2025), terlihat seorang anak kecil berenang di atas timbunan syiling yang Sadikin keluarkan dari sebuah tong drum.
"Semuanya syiling, sebab kalau ditambah dengan duit kertas, takut hancur, sebab itu 500 dan 1,000 syiling perak. Kalau dikira semua hampir Rp70 juta," kata Sadikin. - Sumber Tribun Jatim.
EmoticonEmoticon