Lebih 50 tahun, lelaki Masana Izawa melakukan rutin keluar ke hutan di Jepun, membuka seluar dan membuang air besar seperti dilakukan beruang.
Lelaki berusia 74 tahun itu berkata, rutin 'mengembalikan' najis kepada alam semula jadi itu supaya organisma dalam tanah boleh menguraikannya.
"Ini bermakna anda memberi kehidupan semula. Apakah tindakan yang lebih mulia?" katanya kepada AFP.
Mendapat gelaran Fundo-shi (tuan najis), Masana adalah seorang selebriti di Jepun, menerbitkan buku, menyampaikan syarahan dan muncul dalam dokumentari.
Orang ramai berpusu-pusu ke lokasi Masana melakukan aktiviti itu, di Sakuragawa di utara Tokyo, kadang-kadang membabitkan puluhan individu dalam sebulan.
Di sana, di kawasan hutan miliknya seluas 7,000 meter persegi (kira-kira sebesar padang bola sepak) pelawat mendapat petua terbaik untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Noguso, seperti yang dikenali dalam bahasa Jepun, memerlukan menggali lubang, satu atau dua daun untuk mengelap, sebotol air untuk mencuci dan ranting untuk menandakan tempat itu.
Kayu itu memastikan dia tidak menggunakan tempat sama dua kali dan kemudian boleh kembali untuk menyimpan rekod tepat proses penguraian.
Masana ialah bekas jurugambar alam semula jadi yang pakar dalam cendawan sebelum bersara pada 2006.
Tabiatnya itu bermula pada usia 20 tahun apabila dia melihat protes terhadap pembinaan loji kumbahan.
"Kami semua mengeluarkan najis, tetapi (penunjuk perasaan) mahu loji rawatan itu berada di tempat yang jauh dan tidak kelihatan.
"Membiarkan tanah melakukan kerja adalah lebih baik untuk alam sekitar," katanya.
Dia membuat kesimpulan bahawa membuang air besar di kawasan terbuka adalah jawapannya.
Tandas, kertas tandas dan kemudahan air sisa memerlukan sejumlah besar air, tenaga dan bahan kimia.
Membuang air besar di luar dilarang di Jepun, namun Masana memiliki kawasan hutan di sekitar rumahnya, untuk melakukan aktiviti itu.
EmoticonEmoticon