Selasa, 31 Disember 2024

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan


Aktivis yang juga pereka grafik, Fahmi Reza ditahan bagi membantu siasatan susulan 30 laporan polis berhubung karikatur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu, pereka grafik itu diberkas kira-kira pukul 5 petang selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang semalam.


Katanya, Fahmi ditahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.



"Siasatan masih dijalankan dan reman akan dipohon pagi ini mengikut prosedur Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memudahkan proses siasatan," katanya.


Perintah reman terhadap Fahmi dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini.


Karikatur kontroversi itu menggambarkan Musa Aman memakai tanjak dengan wang kertas RM100 di dalam mulutnya. Versi awal karikatur tersebut turut memaparkan frasa "Perasuah Nombor Satu Sabah" dalam Bahasa Melayu.


Musa Aman dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Disember dan akan memulakan tugas pada 1 Januari 2025.


Sebelum ini, dia menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi telah dibebaskan.


Menurut hantaran media sosial Fahmi, dia memaparkan poster tersebut pada dinding di Asia City, Kota Kinabalu, pada 27 Disember yang diturunkan hanya beberapa jam kemudian.


Pelbagai kumpulan dan individu telah mengecam penahanan Fahmi, menuntut pembebasannya segera serta mengkritik tindakan undang-undang terhadapnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara. - Sumber Malaysia Kini.


Fahmi Reza ditahan reman selama sehari bermula hari ini atas siasatan kes membabitkan karikatur Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman. - Foto Facebook/Fahmi Reza.


EmoticonEmoticon