Polis menahan tiga lelaki berhubung kejadian lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek datang ke Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman sebelum mereka ditahan kira-kira 8 malam tadi.
"Kesemua suspek yang ditahan berusia diantara 18 hingga 60 tahun dan polis sedang mengumpul maklumat daripada mereka.
"Kes ini kita akan siasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Akhbar semalam melaporkan, mangsa lelaki OKU yang menunggang motosikal dikatakan melanggar gerai jualan di situ pada 9.30 pagi, menyebabkan barang jualan termasuk makanan bertebaran di atas jalan raya.
Sekumpulan individu kemudian melepaskan kemarahan mereka ke atas lelaki tersebut dengan bertindak ganas.
Lelaki OKU itu telah dibelasah dan diseret oleh beberapa lelaki lain. Dia malah disepak, dipijak dan ditendang di bahagian kepala.
Mangsa meronta ronta meminta bantuan dalam keadaan hujan yang turun. Namun tiada siapa yang membantunya.
Dia malah didatangi oleh beberapa lagi individu lain yang melepaskan kemarahan mereka dengan cara yang sangat ganas.
Kemudian tular lagi di media sosial menunjukkan kad pengenalan OKU milik mangsa yang mengesahkan bahawa mangsa adalah OKU Mental dan tinggal di Kemaman.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
EmoticonEmoticon