Sebuah majlis perkahwinan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana berlangsung di tengah hutan yang dipenuhi ulat bulu berwarna hitam, lapor portal berita Wolipop pada 8 Disember 2024.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @sutrisnoajik menunjukkan ulat-ulat bulu yang bertenggek di atas daun dan kerusi tetamu.
Ulat-ulat itu juga jatuh daripada pokok dan merayap pada kaki serta pakaian tetamu. Rakaman itu mencatatkan lebih 925,700 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
"Saya rela tidak hadir daripada terseksa di situ," kata seorang netizen.
Wolipop telah menghubungi Sutrisno Aji, yang memuat naik video dan menjadi jurugambar di majlis perkahwinan itu yang lokasinya betul-betul di dalam hutan pokok jati.
"Suatu hari saya bekerja sebagai jurugambar dan mendapat kerja mendokumentasikan perkahwinan rakan saya. Semasa majlis itu, tetamu datang dan tempat itu betul-betul di dalam rumpun pokok jati, iaitu musim ulat jati tumbuh," katanya kepada Wolipop.
Lelaki berusia 28 tahun ini menjelaskan acara perkahwinan itu berlangsung pada 9 November 2024 di Gunungkidul, Yogyakarta. Katanya, ada di antara tetamu jemputan yang hadir terhibur apabila melihat ulat mewarnai kawasan perkahwinan.
"Ramai orang di sini terutama kanak-kanak dan wanita geli hati melihat ulat jati yang begitu banyak. Ramai juga yang pulang awal kerana ulat itu. Kelakar melihat kejadian ini, saya muat naik di media sosial. Ulat jati ini unik, ia hanya datang setahun sekali," jelasnya.
Aji berkata, kehadiran ulat dari pokok jati mengganggu tetamu jemputan yang hadir. Majlis akad nikah terus berjalan dengan lancar.
"Mula-mula macam biasa, tetapi seorang wanita pulang awal kerana banyak ulat jatuh dari pokok jati. Ulat jati ini jatuh dan mencari tempat untuk membentuk kepompong dan melarikan diri daripada pemangsa semulajadi. Ramai yang terhibur dan ada yang terpaksa pulang ke rumah awal," katanya. - Sumber Wolipop.
EmoticonEmoticon