Isnin, 30 Disember 2024

Lelaki tumbuk muka, pukul kepala pekerja kedai makan dengan penutup tong sampah ditahan


Polis telah menahan seorang lelaki yang menumbuk dan memukul kepala seorang pekerja sebuah kedai makan dengan penutup tong sampah di Machang Bubok, Bukit Mertajam yang tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.


Menurutnya, polis mengesan video yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebook (FB) berdurasi satu minit dan 36 saat sekitar jam 10 pagi tadi.


"Kejadian memaparkan individu dipukul di sebuah kedai makan yang mana siasatan lanjut mendapati insiden berlaku kelmarin (27 Disember) kira-kira jam 2.45 pagi.


"Suspek didapati telah menumbuk muka mangsa beberapa kali serta memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah.


"Polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan terhadap suspek dilakukan yang mana dia kini direman hingga esok bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Jelasnya, punca kejadian berkaitan perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman sepertimana yang didakwa.


"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar video tular memaparkan lelaki memukul dan menumbuk pekerja kedai makan. - Foto media sosial.


EmoticonEmoticon