Seorang lelaki di China, baru-baru ini, menggunakan 400 telefon bimbit secara serentak bagi meningkatkan peluangnya memenangi hadiah dalam penstriman langsung.
Ma akhirnya ditangkap polis selepas ditemukan mengendalikan ratusan peranti itu di garaj kecil dalam kawasan kediaman di wilayah Jiangsu pada Ogos lalu, lapor South China Morning Post pada 18 Disember 2024.
Perlakuan pelik Ma itu dilaporkan seorang warga emas kepada polis selepas mengesyaki Ma menjalankan operasi penipuan.
Bagaimanapun, siasatan polis terhadap Ma mendedahkan senario berbeza.
Ma mengakui, dia menggunakan telefon masing-masing dipautkan ke akaun platform penstriman langsung yang berasingan untuk mengakses penstriman langsung sama dan meningkatkan peluangnya memenangi 'beg bertuah'.
Katanya, dia melakukan tindakan itu kerana beg bertuah hanya memerlukan penonton mengklik butang untuk menghantar mesej tertentu dan menunggu hadiah diberikan dengan pengendali penstriman langsung menyediakan hadiah dan menentukan kandungan beg bertuah.
"Saya memenangi pelbagai barangan, daripada barangan keperluan harian yang murah kepada pencetak dan model iPhone terkini, yang akhirnya saya jual di platform e-dagang terpakai.
"Saya memperoleh antara 10,000 hingga 20,000 yuan (RM 6,168.78 hingga RM12,337.56) sebulan," katanya.
Katanya, dia tidak memasukkan kad Sim ke dalam telefon yang diperlukan untuk mendaftar akaun baharu di platform media sosial China sebaliknya, membeli akaun sedia ada daripada orang lain, diperoleh secara dalam talian.
Memandangkan akaun berdaftar nama sebenar ini mengandungi maklumat peribadi, polis mendakwa Ma kerana melanggar maklumat peribadi orang lain yang menyalahi undang-undang.
Walaupun polis tidak mendedahkan hukuman khusus, menurut Undang-undang Jenayah China, individu yang memperoleh, menjual atau memberikan maklumat peribadi warganegara boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda. - Sumber South China Morning Post.
EmoticonEmoticon