Perbuatan sekumpulan penduduk mengadakan perlumbaan kereta kuda di sebuah lebuh raya di India mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita The Indian Express pada 6 Disember 2024.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Ekspres Timur, Mumbai pada Selasa lalu.
Rakaman yang dimuat naik di laman X oleh akaun @thaver_mohamed menunjukkan beberapa 'peserta' menaiki kereta kuda pada kelajuan tinggi.
Lebih mengejutkan, mereka diiringi kumpulan penunggang motosikal yang hadir untuk menyokong dan meraikan peserta.
Menurut polis tempatan, siasatan awal mendapati perlumbaan yang berlangsung antara Ghatkopar hingga Mulund itu dianjurkan tanpa kebenaran.
"Pihak berkuasa sedang giat menjalankan siasatan," tambah polis.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1,300 tontonan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
Sebilangan netizen juga menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan kekejaman haiwan akibat perlumbaan tersebut. - Sumber The Indian Express.
EmoticonEmoticon