Seorang wanita di India nekad mengheret suaminya ke mahkamah kerana tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang lebih mementingkan kucing peliharaan mereka berbanding dirinya, lapor laman berita Oddity Central pada 20 Disember 2024.
Dia bagaimanapun dimarahi hakim di Mahkamah Tinggi Karnataka, Bengaluru kerana memfailkan aduan remeh hanya disebabkan seekor kucing.
Hakim M. Nagaprasanna mendapati, tiada dakwaan khusus mengenai kekejaman atau gangguan dibuat dalam aduan tersebut.
"Plaintif memfailkan kes kerana suaminya lebih mementingkan kucing berbanding dirinya. Mereka juga bertengkar setiap kali si isteri mengadu tentang tingkah laku pasangannya.
"Dia mendakwa bahawa si suami tidak berbuat apa-apa selepas kucing tersebut menyerang dan mencakarnya beberapa kali," kata Nagaprasanna ketika mendengar petisyen aneh itu minggu lalu.
"Isunya bukan mengenai tuntutan mas kahwin atau kezaliman yang dilakukan oleh suami. Sebaliknya berkaitan kucing peliharaan yang menyerangnya," tambah Nagaprasanna.
Mahkamah tersebut mengarahkan agar siasatan lanjut terhadap si suami dihentikan. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon