Khamis, 26 Disember 2024

Cucu rakam, simpan video lucah nenek dipenjara serta didenda RM4,000


Seorang lelaki yang merakam dan menyimpan video lucah milik ahli keluarga, termasuk neneknya, dipenjara empat hari dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.


Tertuduh, 23, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja di kebun sawit didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di Batu Pahat pada 11.15 malam, 23 Disember lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubungan pautan yang digunakan tertuduh yang mana ada kaitan dengan video dan lucah dirakamnya.


Sebaik menerima maklumat itu, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama ahli keluarga lain dan merampas telefon bimbit miliknya.


Pemeriksaan menemukan beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh. Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah itu milik nenek, ibu saudara dan sepupuya.


Semua video dan gambar itu dirakam ketika mereka sedang mandi dan juga menyalin pakaian dalam bilik.


Berikutan itu, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Tertuduh, Mohammad Fazlie Isa, 23, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku rakam dan miliki video lucah beberapa individu termasuk neneknya. - Foto NSTP.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon