Sebuah keluarga memberi penghormatan unik kepada kenderaan banyak berjasa kepada mereka, dalam satu 'majlis pengebumian' mewah bernilai lebih RM20,000 dengan dihadiri 1,500 penduduk tempatan.
Keluarga Polara dari Padarshinga, Gujarat di India mengucapkan selamat tinggal kepada kenderaan mereka yang berusia hampir 12 tahun dengan melakukan upacara pengebumian.
Patriark Sanjay Polara memberitahu wartawan, dia memiliki beberapa kereta yang lebih mahal termasuk Audi, namun memuji Wagon R lama itu kerana banyak berjasa dalam kemakmuran keluarganya.
"Kereta ini lebih daripada sekadar kenderaan. Ia sebahagian daripada perjalanan kami ke arah kejayaan.
"Daripada menjualnya, kami mahu menghormatinya dengan ingatan yang berkekalan untuk generasi akan datang.
"Jadi kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk kereta ini," katanya.
Sanjay Polara, yang memiliki perniagaan pembinaan di Surat berkata, dia juga merancang untuk menanam pokok di atas kubur yang luar biasa itu untuk mengingatkan generasi akan datang bahawa ia adalah tempat berehat kereta bertuah keluarga itu.
Sebuah kubur sedalam 4.6 meter digali dalam kawasan hartanah mereka sebelum kereta itu ditanam didalamnya.
Seperti kelaziman majlis pengebumian kereta itu turut ditutup dengan kelopak bunga dan dihiasi dengan kalungan berwarna-warni dengan iringan muzik daripada pembesar suara mudah alih.
Keluarga itu kemudian menutupnya dengan kain hijau dan melakukan beberapa ritual sebagai sebahagian daripada upacara yang dilaporkan menelan belanja lebih AS$4,500 (RM20,106).
Mereka juga mendirikan samadhi (tempat suci) untuk Suzuki Wagon R kesayangan itu. Selepas semua upacara selesai, sebuah jengkaut digunakan untuk menutup gerabak dengan tanah dan tanah liat. - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon