Jumaat, 13 Disember 2024

Penganggur didenda RM17,000 simpan 756 video lucah, rakam wanita dalam tandas


Seorang penganggur didenda RM17,000 di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut hari ini setelah mengaku bersalah menyimpan 756 video lucah dan merakam video wanita di dalam tandas staf Pusat Dialisis Mutiara Cawangan Ayer Tawar.


Hukuman terhadap lelaki tersebut, Hadee Abdullah, 29, dibuat oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.


Pemuda tersebut didapati menyimpan 756 video lucah berkenaan ketika dia berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Manjung kelmarin kira-kira pukul 4.10 petang.


Bagi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan tersebut, dia dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayarnya.


Hadee turut mengaku bersalah bagi empat pertuduhan mengaib kehormatan tiga wanita berusia 24, 34 dan 38 tahun menerusi rakaman video terhadap mangsa berkenaan di pusat dialisis tersebut pada 5 Disember lalu antara pukul 11.27 pagi hingga 2.27 petang.


Tertuduh disabitkan empat kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan didenda RM3,500 bagi setiap pertuduhan. Dia berhadapan penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Tertuduh membayar denda berkenaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A. Sive Ganesh.


Hadee (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon