Rabu, 13 November 2024

Pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium menyebabkan 35 orang maut, 45 cedera


Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan menggunakan kereta di selatan China sekali gus menjadi tindakan keganasan awam paling maut di negara itu dalam beberapa dekad, lapor BBC News pada 12 November 2024.


Seorang jurucakap polis tempatan berkata, suspek berusia 62 tahun yang dikenali sebagai Fan, dengan sengaja memandu keretanya dan merempuh sekumpulan individu yang sedang bersenam di sebuah stadium di bandar Zhuhai.


"Serangan serius dan kejam itu turut mencederakan 45 orang termasuk warga emas serta kanak-kanak.


"Siasatan awal mendapati bahawa suspek berasa tidak puas hati terhadap pengagihan aset selepas perceraian.


"Dia ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan yang dilakukan sendiri," katanya.



Serangan itu mendapat kritikan di seluruh China, manakala Presiden Xi Jinping berikrar bahawa suspek akan dikenakan 'hukuman berat'. Beliau turut menggesa 'usaha habis-habisan' dilakukan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.


Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan suspek dicetuskan oleh pertikaian harta berikutan perceraiannya.


"Dia masih dalam keadaan koma dan tidak disoal siasat," kata polis. - Sumber Perbadanan Penyiaran Britain (BBC News).


Sebuah kereta polis tiba di Pusat Sukan Zhuhai sehari selepas serangan menggunakan kereta yang meragut puluhan nyawa. - Foto Hector.


EmoticonEmoticon