Jumaat, 22 November 2024

Lelaki warga asing mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat kekal


Seorang lelaki warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki sehingga mengalami cacat kekal dalam kejadian pada Sabtu lalu.


Tertuduh Murtabis, 28 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Mohamad Azrul Muhd Sobri.


Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M Gunalan, 52, di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor jam 2 petang pada 16 November lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Sementara itu, di Mahkamah sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa- apa pas yang sah mengikut undang- undang untuk masuk ke negara ini.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Simpang Tiga Tasek Gelugor kira-kira jam 3 petang pada hari sama.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/ 63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua- duanya dan tidak lebih enam sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua- dua pertuduhan kerana dia bukan warganegara. Kes akan disebut semula 13 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.


Sebelum ini media tempatan melaporkan, seorang lelaki direman selama empat hari selepas bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki dalam pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.


Kejadian kira-kira jam 2 petang itu dikatakan berlaku akibat perasaan tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa berusia 52 tahun yang didakwa mengganggunya dalam keadaan mabuk.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kejadian itu menyebabkan mata mangsa tidak dapat diselamatkan dan mengalami kecacatan kekal apabila bebola matanya tidak dapat disambung semula.


Tertuduh diiringi anggota polis ke Mahkamah Butterworth, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon