Seorang lelaki di China tergamak meninggalkan isteri yang baru dikahwininya, memutuskan semua hubungan dan enggan menjaga selepas wanita itu disahkan menghidap barah peringkat akhir.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, perbuatan yang keterlaluan itu mendapat kecaman di media sosial di China.
Ia selepas lelaki dikenali Feng itu dijatuhi hukuman penjara setahun oleh mahkamah di wilayah Anhui di timur China kerana melakukan pengabaian, menurut laporan Qihu News.
Hukuman itu boleh ditangguhkan sehingga setahun.
Difahamkan, Feng berkahwin dengan isterinya, Wang, pada 2022 lalu. Dua bulan kemudian, Wang disahkan menghidap barah usus yang melarat hingga ke tahap akhir.
Pada mulanya, Feng menjaga isterinya, tetapi selepas beberapa bulan, dia menggunakan alasan bekerja di bandar lain untuk mengelak daripada tanggungjawabnya.
Walaupun Wang dan keluarganya menghubungi Feng, lelaki itu tetap sukar dihubungi. Ketika menjalani rawatan, Wang terpaksa meminjam wang untuk menampung bil hospital.
Malangnya, dia meninggal dunia selepas menghabiskan lebih 200 hari di hospital.
Berikutan kegagalan Feng untuk memberikan penjagaan atau menyumbang kepada perbelanjaan perubatannya, keluarga Wang memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya di Mahkamah Rakyat Daerah Shitai.
Bapa Wang mengecam Feng kerana "kelakuan ganasnya", mereka gagal untuk menghubunginya melalui telefon, aplikasi pemesejan, dan juga melibatkan polis dan pihak berkuasa lain.
Selepas dipanggil semula ke mahkamah, Feng akhirnya mencapai penyelesaian dengan keluarga Wang dan mendapatkan pengampunan mereka.
Menurut Dr Cui Shuanglin dari Pusat Kanser Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, pesakit yang menghidap kanser usus peringkat akhir mempunyai anggaran kadar kelangsungan hidup sekitar tiga tahun, bergantung kepada keadaan kesihatan individu, seperti yang dicatatkan di laman web perubatan Youlai.
Terdahulu, Feng pernah dua kali menyatakan hasrat untuk berpisah ketika Wang sakit teruk. - Sumber South China Morning Post.
EmoticonEmoticon