Seorang wanita di Afrika Selatan berdepan detik cemas apabila mendapati kain yang dipegangnya adalah seekor ular berbisa, lapor saluran berita Must Share News pada 13 November 2024.
Kejadian berlaku di rumahnya di Vermont pada 5 Oktober lalu.
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, corak haiwan berbisa tersebut menyerupai kain yang diletakkan di atas meja.
"Saya masuk ke dapur dan ternampak sehelai kain berwarna coklat di atas lantai.
"Coraknya sama dengan corak kain yang diletakkan di atas meja.
"Ketika saya mahu mengambil 'kain' itu, saya menyedari bahawa ia bukan kain tetapi ular berbisa," tambahnya.
Dalam keadaan panik, dia bergegas menghubungi Corné Uys, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar tempatan dan pakar penangkap ular untuk mendapatkan bantuan.
"Ular ini mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk berikutan cuaca panas yang melanda selama beberapa hari," kata Uys.
Menurutnya, ular itu sangat berbisa dan bertanggungjawab untuk lebih banyak kematian berbanding ular lain di Afrika.
Selepas berjaya menangkap ular itu, Uys melepaskannya semula ke kawasan hutan simpan berdekatan.
Dia juga memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk terus berwaspada ketika musim panas. - Sumber Must Share News.
EmoticonEmoticon