Seorang pelajar berumur 13 tahun dikenal pasti menjadi dalang di sebalik api misteri yang muncul secara tiba-tiba. Dia membakar perabot di rumah keluarga berkenaan di Asahan, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Mistar.
Sebelum ini, kejadian aneh itu dikaitkan dengan perkara ghaib kerana penduduk hairan api tersebut muncul tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Asahan, Afdhal Junaidi pada Selasa (5/11/24) berkata, pihaknya mendapati kemunculan api itu bukan kerana aktiviti paranormal atau perkara ghaib tetapi perbuatan pelajar itu yang dikenali sebagai NA.
Terdapat seorang saksi menyatakan bahawa dia melihat NA memegang pemetik api dan membakar barang-barang di dalam rumah keluarganya.
Setelah disiasat lebih lanjut, NA akhirnya mengaku dia mencetuskan kebakaran misteri itu dengan menggunakan pemetik api.
Afdhal berkata, berdasarkan pemeriksaan perubatan, NA mengalami gangguan psikologi sejak kecil.
"Pelaku yang masih di bawah umur ini terbukti memiliki gangguan psikologi setelah diperiksa oleh doktor," ujarnya.
Pelajar itu tidak ditahan kerana masih di bawah umur di samping faktor keadaan kesihatan mentalnya. - Sumber Mistar.
EmoticonEmoticon