Isnin, 18 November 2024

200 ekor monyet mengamuk serang balai polis


Polis di tengah Thailand menyatakan bahawa mereka terpaksa berkubu di balai sendiri hujung minggu lalu selepas kawanan monyet yang terlepas, merusuh di bandar tersebut.


Penduduk bandar LopBuri sudah lama menderita akibat peningkatan populasi monyet agresif dengan pihak berkuasa membina kawasan khas bagi melindungi diri mereka.


Lebih 200 ekor monyet melarikan diri dari sangkar mereka di Taman Asuhan Monyet Pho Khao Ton perbandaran LopBuri di daerah Muang dan menceroboh balai polis Tha Hin.


Kejadian berlaku pada petang kelmarin (Sabtu) apabila kira-kira 300 ekor monyet yang ditangkap dari bandar LopBuri melarikan diri dari sangkar dan berkeliaran di jalan raya.


Polis mendapati sangkar itu tidak dapat menahan kekuatan monyet yang mengayunkan struktur. Haiwan itu menerobos dan melarikan diri.


Kawanan monyet itu mengamuk di seluruh bandar LopBuri dengan turut menyerang rumah penduduk dan balai polis tempatan.


"Kami perlu memastikan semua pintu dan tingkap ditutup untuk menghalang primat ini daripada memasuki bangunan untuk mencari makanan," kata kapten polis, Somchai Seedee kepada AFP hari ini.


Dia bimbang penceroboh itu akan memusnahkan harta benda termasuk dokumen polis.


Polis trafik dan anggota-anggota bertugas dipanggil untuk menghalau penceroboh tersebut, kata polis LopBuri di laman Facebook semalam.


Kira-kira 12 ekor monyet itu masih berada di atas bumbung balai polis hari ini, demikian menurut gambar media tempatan.


Di jalanan, anggota polis dan pihak berkuasa tempatan berusaha menangkap monyet itu dengan memberi umpan makanan supaya haiwan liar itu menjauhi kawasan penduduk. - Sumber SCMP.


Gambar fail menunjukkan beberapa ekor monyet memanjat badan seorang jurugambar di wilayah LopBuri. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon