Isnin, 7 Oktober 2024

Wanita warga emas alami pendarahan di kepala akibat diragut penjenayah bermotosikal


Seorang wanita warga emas parah selepas diragut penjenayah bermotosikal dalam kejadian dekat Jalan Limau Manis, Bangsar di Kuala Lumpur awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 6.30 pagi namun tiada kerugian direkodkan kerana tiada barangan berharga dalam beg diragut suspek.


"Mangsa berumur 78 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.


"Mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum menghampiri dari belakang dan meragut beg mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa tersembam di atas jalan tar.


"Mangsa yang parah akibat kejadian kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.


"Mangsa mengalami pendarahan di kepala yang agak serius dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit 45 saat memaparkan seorang wanita warga emas berpakaian merah jambu diragut oleh seorang penunggang motosikal.


Video tersebut memaparkan wanita warga emas itu terjatuh akibat diragut sebelum disedari orang awam.


Wanita warga emas mengalami kecederaan selepas diragut dalam kejadian di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon