Rabu, 16 Oktober 2024

Seorang lelaki Rusia terselamat selepas dua bulan terapung di laut


Seorang pemerhati ikan paus, lelaki Rusia, baru-baru ini ditemukan selamat selepas dua bulan hanyut bersama dua mayat saudaranya di atas bot pelampung.


Mikhail Pichugin, 45, terselamat dengan berat badannya hanya tinggal 50 kilogram (kg), manakala abang dan anak saudaranya meninggal dunia.


Pendakwa raya pengangkutan berkata, Pichugin, abangnya dan anak saudaranya yang berusia 15 tahun berlepas ke Pulau Sakhalin dari wilayah timur jauh Khabarovsk, 9 Ogos lalu, menggunakan bot pelampung katamaran sepanjang 15 kaki.


Bot itu ditemukan kira-kira jam 10 malam Isnin lalu ketika ia terapung melepasi bot nelayan di Laut Okhotsk, kira-kira 1,000 kilometer (km) dari lokasi ia bertolak dan 66 hari selepas ia berlepas.



Mayat abangnya, Sergei, 49, dan anak saudara Ilya, 15, masih berada di dalam bot berkenaan.


Pasukan penyelamat menaiki helikopter dan pesawat untuk mencari ketiga-tiga mereka beberapa hari selepas hilang, mengesyaki bot itu dibawa arus ke arah Kamchatka.


Isteri Pichugin, Yekaterina, memberitahu RIA Novosti, penemuan suaminya satu keajaiban.


"Suami hanya mengambil makanan dan air yang mencukupi untuk bertahan dua minggu. Faktor berat badan suami 100 kg mungkin membantu menyelamatkan nyawanya," katanya.


Ketua doktor hospital wilayah, Yury Lednev berkata, keadaan lelaki itu kurang stabil.


"Dia mungkin mengalami hipotermia," katanya.


Polis pengangkutan membuat siasatan kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan keselamatan yang boleh menyebabkan Pichugin menghadapi pertuduhan jenayah dan risiko hukuman penjara sehingga tujuh tahun.


Saluran Telegram Baza, yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasaan undang-undang berkata, mangsa memiliki kira-kira 20 liter air dan mengumpul air hujan serta makan mi kering dan kacang pis.


Saluran itu melaporkan, Pichugin memberitahu nelayan bahawa anak saudaranya meninggal dunia pada awal September.


Mereka mula mengalami ulser tekanan (bedsore) kerana duduk terlalu lama dan abangnya cuba membersihkan dirinya sebelum terjatuh ke dalam air berais.


Pichugin berjaya menyelamatkan abangnya, namun lelaki itu meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor Baza.


Pichugin kemudian mengikat mayat abang dan anak saudaranya pada bot. - Sumber Daily Mail.


Mangsa diselamatkan selepas 67 hari terapung di laut. - Foto Kementerian Kecemasan Rusia/ Reuters.


EmoticonEmoticon