Pesakit paling lama bertahan selepas menghidap penyakit genetik yang jarang ditemui, Sammy Basso, meninggal dunia pada usia 28 tahun, lapor saluran berita Channel News Asia pada 6 Oktober 2024.
Penghidap sindrom progeria atau dikenali sebagai sindrom Hutchinson–Gilford (HGPS) itu kelihatan jauh lebih tua daripada usia yang sebenar.
Menurut Persatuan Progeria Itali, pesakit hanya mampu hidup selama 13.5 tahun tanpa sebarang rawatan.
Penyakit aneh itu menjejaskan satu dalam setiap 8 juta orang yang dilahirkan. Ia juga dikesan berlaku satu dalam setiap 20 juta penduduk di seluruh dunia.
Basso dilahirkan di Schio, wilayah utara Itali pada 1995. Dia menghidap progeria sejak usia dua tahun.
Basso menjadi terkenal melalui dokumentari National Geographic Sammy’s Journey yang menceritakan perjalanannya di sepanjang Laluan 66 di Amerika Syarikat, dari Chicago ke Los Angeles bersama ibu bapa dan kawan baiknya, Riccardo.
"Hari ini cahaya kami telah meninggal dunia. Terima kasih Basso kerana menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan yang indah," tulis persatuan itu di laman Instagramnya pada Ahad (6 Okt). - Sumber Channel News Asia.
EmoticonEmoticon