Rabu, 23 Oktober 2024

Pekerja katering dihadapkan di Mahkamah atas pertuduhan liwat 4 remaja lelaki


Seorang pekerja katering dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Butterworth, hari ini, atas enam pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat remaja lelaki antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.


Tertuduh, Muhammad Haikal Hazwan Che Man, 24, yang masih bujang mengaku tidak bersalah dan mohon kesemua kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.


Anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik di Apartmen Permata di Bandar Perda, Bukit Mertajam jam 3 petang pada Mac tahun lalu.


Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, lelaki yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual dengan menghisap kemaluan empat remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun termasuk mangsa bagi pertuduhan pertama.


Pendakwaan bagi semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan susulan kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa bawah umur.


Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima dengan alasan dia bekerja sebagai pekerja katering dan perlu menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,200.


Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh supaya tidak mendekati serta mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.


Kes akan disebut semula 25 November ini untuk laporan perubatan dan laporan kimia.


Sementara itu, di Mahkamah Bukit Mertajam tertuduh juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan beberapa keping gambar lucah dalam telefon bimbit jenis IPhone 11 pro miliknya.


Haikal Hazwan (tengah) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan Malaysia.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon