Khamis, 24 Oktober 2024

Misteri penampakan tiang langit berwarna hitam di timur Thailand cetus tanda tanya


Penduduk wilayah Ubon Ratchathani, Thailand digemparkan dengan penemuan tiang misteri di langit yang disifatkan menyerupai pokok kacang ajaib 'Giant Beanstalk' daripada kisah dongeng terkenal, lapor laman berita Must Share News semalam.


Fenomena menakjubkan yang dirakam dalam sebuah gambar dan dikongsi di media sosial Facebook itu, mencetuskan pelbagai tanda tanya dan spekulasi mengenai asal usulnya.


Menurut akaun Facebook berbahasa Thailand itu, fenomena tersebut tidak sengaja dirakam pada pukul 5.30 petang di Jalan Ubon Khueang Nai, 21 Oktober lalu.


Gambar yang dimuat naik menunjukkan satu 'tiang misteri' berlatarbelakangkan awan pada waktu siang.


"Langit sangat indah tetapi tiang itu muncul ketika saya sedang merakam gambar," demikian menurut keterangan hantaran itu.


Lebih menarik apabila ia didakwa tidak dapat dilihat dengan mata kasar sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai objek berkenaan.


Pakar dari Universiti Chulalongkorn, Prof. Madya Jessada Denduangboripant berkata, pihaknya boleh menganalisis imej tular itu sekiranya foto berkenaan tidak diubahsuai.


"Awan berwarna pelangi adalah fenomena semula jadi yang dikenali sebagai 'kemeriahan awan', yang berlaku apabila cahaya matahari berinteraksi dengan kristal ais, menghasilkan paparan yang ceria," katanya.


Walaupun terdapat banyak penampakan dan imej yang dikongsi mengesahkan kemeriahan awan, kemunculan tiang hitam misteri itu masih belum ada jawapan.


Kemunculan luar biasa itu tidak kelihatan dengan mata kasar dan hanya muncul dalam rakaman kamera.


Jessada berpendapat, bayang hitam itu mungkin 'distrail', iaitu jejak atau kesan ditinggalkan oleh pesawat yang sering disalah anggap sebagai jejak peluru berpandu.


Katanya, distrail muncul apabila haba dan pergolakan pesawat mengewapkan kristal ais dalam awan, meninggalkan ruang yang boleh dilihat.


"Jika ia adalah distrail, seharusnya ia kelihatan dengan mata kasar. Misteri tiang ini tetap wujud.


"Diharapkan ia bukan hasil pengubahsuaian foto atau masalah dengan kamera," katanya.


Foto ini mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan oleh pengguna di media sosial. - Foto Facebook.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon