Khamis, 24 Oktober 2024

Lelaki ditahan polis kantoi curi bateri kereta di kawasan parkir pasar raya


Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencuri bateri kereta di sebuah tapak parkir di pasar raya dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada Selasa lalu.


Kejadian itu tular selepas satu klip video papan pemuka kenderaan mangsa yang terpasang semasa kejadian berjaya merakam suspek sedang membuat 'kerja' dimuatnaik di media sosial.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir, berkata kejadian berlaku 8.08 malam membabitkan seorang mangsa berusia 51 tahun.


"Pemilik kereta seorang lelaki tempatan cuba menghidupkan kenderaan itu kira-kira 10.30 malam tetapi tidak berjaya lalu membuat pemeriksaan dan mendapati bateri kereta sudah tiada.


"Mangsa membuat semakan rakaman kamera papan pemuka mendapati seorang lelaki memakai topi hitam dan berbaju gelap membuka bonet dan mengambil bateri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, ketika ditahan pihak polis turut merampas barang kes iaitu satu unit bateri kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan kes terbabit.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri mana-mana komponen sesebuah kenderaan bermotor.


"Hukuman bagi kesalahan ini boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda," katanya.


Video kejadian itu dimuatnaik laman Facebook, Asal Gombak semalam sehari selepas kejadian bagi memberi amaran kepada orang awam untuk lebih berhati-hati di kawasan tersebut.


Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Muhd Zainal mendakwa kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama terjadi.


"Bukan kali pertama terjadi, tak hairan pun dengan pasar raya Batu Caves ini. Ada pengawal pun tak macam ada pengawal.


"Bukan setakat bateri, kereta pun pernah hilang dalam kawasan parkir itu. Tolong jangan letakkan kenderaan anda di kawasan gelap atau tersembunyi," tulisnya.


Seorang lagi warga maya, Sitie Zuliha turut mendakwa kawasan di sekitar pasar raya tersebut tidak selamat.


"Banyak betul kes sudah berlaku, dah jadi 'kawasan panas'. Motosikal pun selalu hilang," katanya.


Tangkap layar rakaman video kamera papan pemuka mendapati lelaki membuka bonet dan mengambil bateri.


EmoticonEmoticon