Sebuah penerbangan milik Turkish Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di New York, Amerika Syarikat (AS) selepas juruterbangnya meninggal dunia semasa menerbangkan pesawat dalam penerbangan ke Istanbul, Turkiye, lapor akhbar New York Post.
Jurucakap Turkish Airlines, Yahya Ustun berkata, kejadian itu berlaku selepas pesawat itu berlepas dari bandar pantai barat AS, Seattle pada pukul 7 malam (waktu tempatan) pada Selasa (8 Oktober).
Pesawat itu terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pukul 5.57 pagi (waktu tempatan) pada Rabu susulan insiden tersebut, demikian menurut laman web pemantauan pesawat, FlightAware.
"Juruterbang Airbus 350 kami... penerbangan TK204 dari Seattle ke Istanbul rebah semasa penerbangan.
"Selepas percubaan memberikan pertolongan cemas tidak berjaya, kru penerbangan seorang lagi juruterbang dan seorang pembantu juruterbang memutuskan untuk melakukan pendaratan cemas, tetapi dia meninggal dunia sebelum mendarat," katanya menerusi X.
Katanya, juruterbang berusia 59 tahun itu berkhidmat dengan Turkish Airlines sejak 2007.
"Dia lulus pemeriksaan kesihatan pada Mac, yang tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan," tulis Ustun. - Sumber New York Post.
EmoticonEmoticon