Pihak polis berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada wang tebusan bagi membebaskan ahli perniagaan yang diculik pada 13 Oktober lalu berjumlah kira-kira RM7.2 juta.
Ahli perniagaan berusia 59 tahun itu diculik kira-kira pukul 5 pagi dan dibebaskan kumpulan penjenayah kira-kira pukul 12 tengah hari setelah memperoleh wang tebusan berjumlah RM20 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah wang yang diperoleh itu melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang digital.
"Ia melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang Singapura, SGD1 juta (RM3.3 juta) dan selebihnya dalam bentuk mata wang digital (RM1.75 juta).
"Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis juga merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.
Mohd Shuhaily berharap, kes tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana melibatkan warga asing termasuk ada suspek yang dipercayai masih bebas.
Setakat ini, seramai 14 suspek sudah ditahan untuk siasatan melibatkan 10 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita Vietnam.
"Suspek paling muda berusia 23 tahun manakala paling tua 58 tahun. Daripada 14 orang ini mereka mempunyai peranan masing-masing dan terbahagi beberapa kumpulan," katanya.
Antaranya kata beliau, satu kumpulan berperanan dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, satu lagi kumpulan melupuskan barang-barang culik serta menguruskan wang tebusan.
Ditanya mengenai seorang daripada suspek yang merupakan ahli keluarga mangsa, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak mahu mendedahkannya.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat tersebut termasuk dalang utama di sebalik sindiket itu serta motif di sebalik penculikan berkenaan.
"Berhubung seorang ahli keluarga mangsa yang dilaporkan turut ditahan, ia masih dalam siasatan. Kita tidak boleh maklumkan identitinya kerana mungkin akan mengganggu siasatan tetapi saya boleh sebut dia adalah wanita," katanya.
EmoticonEmoticon