Jumaat, 11 Oktober 2024

Berkelakuan tidak senonoh dan mabuk, wanita gelandangan Rusia ditahan


Seorang wanita gelandangan warga Rusia ditahan polis selepas berkelakuan tidak senonoh serta menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13, di Shah Alam pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.50 petang mengenai seorang wanita warga asing yang menghalang lalu lintas.


Ekoran itu kata beliau, anggota unit kereta peronda telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.


"Semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian didapati wanita berkenaan bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan ke atasnya.


"Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati dia tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, wanita itu kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Shah Alam untuk tindakan lanjut.


Beliau memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu dipercayai hidup gelandangan dan tiada sebarang rekod jenayah.


Menurutnya, wanita itu datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik COVID-19 serta tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang.


Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing dapati wanita berkenaan positif dadah jenis THC dan dia direman 14 hari sehingga 22 Oktober ini.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh ditalian 017-5453234," katanya.


Wanita itu dikesan berada dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon