Misteri sebuah lori yang terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan terjawab apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui 18,700 paket minyak masak dalam kenderaan terbabit dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.
Rampasan pada jam 4 petang semalam itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 7 PGA Kuantan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menerusi Op Taring Wawasan di pengkalan haram ayam di Kampung Terusan, Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya memeriksa sebuah pengkalan haram atas maklumat berlakunya aktiviti penyeludupan minyak masak.
"Ketika pasukan Batalion 7 dan KPDN tiba di lokasi, terdapat sebuah lori jenis Nissan terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan tanpa pemandu.
"Hasil pemeriksaan mendapati ratusan kotak mengandungi 18,700 paket minyak masak ditemui dalam lori terbabit tanpa dokumen yang sah.
"Minyak masak itu dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran. Anggaran nilai rampasan kenderaan bernilai RM160,000 manakala minyak masak bernilai RM46,750. Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Beliau berkata, barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jelawat, Bachok untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
EmoticonEmoticon