Malang bagi seorang warga emas lelaki di China apabila maut selepas menjalani prosedur 12 implan gigi dan cabutan 23 batang gigi serentak pada hari sama.
Shu, yang menetap di Bandar Yongkang, Zhejiang, baru-baru ini memfailkan aduan dengan Biro Kesihatan Perbandaran terhadap sebuah klinik pergigian tempatan selepas kematian bapanya itu.
Shu memberitahu pihak berkuasa, bapanya mengalami kesakitan perit sepanjang 13 hari terakhir hidupnya, sebelum mengalami serangan jantung yang membawa maut pada 28 Ogos lalu.
Kini wanita itu mahu mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Menurut borang persetujuan pesakit, bapa Shu sebenarnya telah mencabut 23 gigi aslinya sebelum 12 lubang digerudi ke dalam tengkorak dan rahang bawahnya untuk ditanamkan gigi baharu.
Semua prosedur ini dilakukan dalam satu hari sehingga dia terpaksa menanggung kesakitan yang tidak dapat dibayangkan selepas bius hilang.
Walaupun bilangan cabutan kelihatan agak berlebihan untuk satu sesi, jurucakap klinik tempat prosedur itu dijalankan berkata, bilangan gigi yang boleh dicabut pada satu-satu masa perlu ditentukan doktor secara konsultasi bersemuka berdasarkan keadaan fizikal pesakit.
Menurut rekod Hospital Pergigian Dewei, 23 pengekstrakan itu dijalankan seorang doktor bernama Yuan, yang kepakarannya termasuk rawatan saluran akar, penanggalan gigi bongsu terjejas dan gigi palsu penuh.
Walaupun pada masa ini tiada peraturan khusus mengenai bilangan gigi yang perlu dicabut dalam satu sesi, pihak klinik dan doktor mesti mengambil kira toleransi kesakitan pesakit dan risiko jangkitan.
"Semakin banyak gigi yang anda cabut, semakin besar tindak balas kesakitan pesakit dan semakin besar kebarangkalian jangkitan selepas pembedahan," kata Pengarah Pusat Perubatan Mulut Hospital Keempat Wuhan, Xiang Guolin kepada The Paper.
Susulan aduan itu, pihak berkuasa China sedang menyiasat kes terbabit, namun wakil Biro Kesihatan Perbandaran memberitahu wartawan, membuktikan punca mungkin sukar, memandangkan kematian lelaki itu berlaku 13 hari selepas prosedur kontroversial itu. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon