Selasa, 10 September 2024

Sebuah perniagaan kecil rugi RM18.26 juta, kerana silap letak tanda harga pada mesin basuh


Sebuah perniagaan kecil di China kerugian AS$4.2 juta (kira-kira RM18.26 juta) dalam tempoh 20 minit akibat kesilapan tanda harga mesin basuh diletakkan pada harga jauh lebih murah sehingga menarik ramai orang membelinya.


Kedai Francais Little Swan Dongshan, yang juga mempunyai kedai batu bata dan mortar di daerah Jixi, wilayah Anhui di tenggara China, memohon maaf dan meminta pelanggan menarik balik pesanan mereka, lapor Red Star News.


Little Swan ialah jenama mesin basuh domestik terkemuka dan pelanggan melihat harga yang sangat rendah di kedai francais.


Lebih 40,000 tempahan dibuat menerusi dalam talian kedai itu dalam masa kira-kira 20 minit pada petang 28 Ogos lalu.


Kedai itu berkata, adalah kesilapan yang dibuat salah seorang pekerjanya yang salah faham peraturan keutamaan laman web beli-belah Tmall, yang dikendalikan Alibaba Group.


Ia akan kehilangan 30 juta yuan (RM18.35 juta) jika memenuhi pesanan kerana harga asal produk ialah 70 juta yuan (RM43 juta), tetapi pelanggan hanya membayar 40 juta yuan (RM24.47 juta) kerana kesilapan itu.


Seorang pelanggan, Wang berkata, dia mengetahui tentang penurunan harga itu melalui media sosial pada 28 Ogos.


Dia membeli tiga mesin dalam talian, termasuk dua yang biasanya dijual pada harga 1,699 yuan (RM1,039.22) setiap satu tetapi berharga hanya 299 yuan (RM183) manakala satu lagi yang sepatutnya 2,499 yuan (RM1,529) tetapi dilabelkan 439 yuan (RM269).


"Selepas melihat kenyataan permohonan maaf kedai itu, saya segera membatalkan pesanan," katanya.


Menurut kenyataan kedai itu, majoriti pelanggan membeli berbilang mesin dan membuat pesanan mereka secara profesional.


"Ini menunjukkan, pesanan itu berkemungkinan dibuat perniagaan yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, bukannya individu semata-mata mencari tawaran.


"Disebabkan salah faham, kami membuat kesilapan yang ketara.


"Kami menyedari isu ini telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan telah mengganggu pasaran secara serius," katanya.


Kedai Francais Little Swan Dongshan berkata, mereka hanya mempunyai enam pekerja dan memperoleh keuntungan minimum dalam beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah kelembapan ekonomi.


"Puluhan ribu pesanan dan puluhan juta yuan adalah angka besar bagi kami. Kami amat kesal dengan semua pelanggan yang terjejas.


"Kami dengan rendah hati memohon agar anda memahami kesukaran kami dan bersetuju untuk menarik balik tempahan. Kami akan pulangkan wang anda secepat mungkin," kata kenyataan syarikat itu.


Syarikat itu juga mengeluarkan video anggota kakitangan yang membuat ralat harga.


"Saya amat memohon maaf atas kesilapan saya. Apabila saya menyedarinya, 20 minit telah berlalu.


"Saya tidak mampu untuk menampung kerugian walaupun saya menjual semua apa yang saya ada," katanya.


Pihak berkuasa penyeliaan pasaran tempatan berkata ia sedang menyiasat punca harga yang tidak betul dari kedai itu.


Zhao Liangshan, seorang peguam dari Firma Undang-undang Shaanxi Hengda, memberitahu portal berita The Paper, jika syarikat dengan sengaja menyalah labelkan harga untuk mendapatkan keterlihatan dalam talian atau meningkatkan jualan, ia bertanggungjawab untuk memenuhi perintah itu.


Sebaliknya, jika penetapan harga adalah disebabkan kesilapan, katanya syarikat boleh membuat petisyen kepada mahkamah untuk membatalkan kontrak pembelian, membenarkan ia membayar balik pelanggan tanpa perlu menghantar barang.


"Syarikat itu mesti mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan ia sememangnya telah melakukan kesilapan tulen supaya mahkamah akan membuat keputusan yang memihak kepada pembatalan kontrak pembelian.


Jika tidak, ia mungkin perlu memenuhi puluhan ribu pesanan dan berpotensi menjadi muflis," kata Zhao. - Sumber Oddity Central.


EmoticonEmoticon