Rabu, 25 September 2024

Saintis temui spesies baharu 'jerung hantu' berkeliaran di dasar Lautan Pasifik


Saintis di New Zealand semalam berkata, mereka menemui spesies baharu 'jerung hantu', sejenis ikan yang berkeliaran di dasar Lautan Pasifik dan dikesan memburu jauh ke dalam laut.


Menurut saintis dari Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Negara (NIWA) yang berpangkalan di Wellington, ikan jerung jenis 'spookfish' hidung sempit Australasia ditemui hidup di perairan dalam Australia dan New Zealand.


Spesimen itu ditemui semasa penyelidikan di Chatham Rise, kawasan Pasifik yang seluas sekitar 1,000 kilometer (km) ke timur berhampiran Pulau Selatan New Zealand.


Jerung hantu atau chimaera dikaitkan dengan spesis jerung dan pari, tetapi ia adalah sebahagian daripada kumpulan ikan dengan seluruh rangka daripada tulang rawan.


Ia juga dikenali sebagai 'spookfish' atau jerung hantu yang mempunyai mata hitam berhantu dan kulit licin, berwarna coklat muda, tanpa sisik.


Ia juga memakan krustasea pada kedalaman sehingga 2,600 meter (m) menggunakan mulut seperti paruh.


"Jerung hantu seperti ini sebahagian besarnya berada di dasar lautan," kata saintis penyelidik Brit Finucci, yang turut memberikan nama saintifiknya kepada spesies baharu itu sebagai 'Harriotta avia' untuk mengenang neneknya.


"Habitat mereka menjadikan saintis sukar untuk belajar dan memantaunya dan ini bermakna kita tidak tahu banyak tentang biologi atau status ancaman mereka, tetapi itu menjadikan penemuan seperti ini lebih menarik," katanya.


Ikan spookfish sebelum ini dianggap sebagai sebahagian daripada spesies tunggal sehingga saintis mendapati ia berbeza secara genetik dan morfologi dengan spesies dikaitkan dengannya. - Sumber NBC News.


Saintis di New Zealand berkata mereka telah menemui spesies baru jerung hantu atau 'spookfish' yang berkeliaran di dasar Lautan Pasifik memburu mangsa jauh ke dalam laut. - Foto AFP.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon