Suhu pecah rekod dan kemarau berpanjangan di Greece, menjadikan sebuah perkampungan yang tenggelam di empangan utama Athens, kembali dilihat buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Kampung Kallio ditenggelami air pada akhir 1970-an apabila Empangan Mornos dibina, 200 kilometer (km) di barat ibu negara. Ia membentuk tasik buatan daripada sumber air Sungai Mornos dan Sungai Evinos.
Paras air di tasik itu merosot 30 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pengendali air negara, EYDAP. Ia menyebabkan sebuah runtuhan sekolah dan rumah di Kampung Kallio, kelihatan.
"Paras Tasik Mornos menurun sebanyak 40 meter," kata Yorgos Iosifidis, seorang pesara berusia 60 tahun yang terpaksa meninggalkan rumahnya ketika masih muda, bersama penduduk lain di Kampung Kallio, apabila kawasan itu dinaiki air.
"Kamu lihat tingkat satu yang tinggal di rumah dua tingkat (milik) bapa mentua saya... dan di sebelahnya, kamu boleh melihat apa yang tinggal di rumah sepupu saya," kata Iosifidis, yang kini tinggal di kawasan lebih tinggi di atas bukit, kepada AFP.
Kemarau bertambah buruk tahun ini di negara Mediterranean itu yang sudah terbiasa dengan gelombang musim panas.
Selepas musim sejuk paling sederhana, Greece mencatatkan suhu paling panas pada Julai menurut data cuaca awal dari Balai Cerap Negara.
Hampir 80 rumah di Kallio, sebagai tambahan kepada gereja dan sekolah itu terpaksa 'dikorbankan' untuk pembinaan empangan berkenaan.
Ia adalah kali kedua Kampung Kallio kembali dilihat, selepas satu tempoh kemarau pada awal 1990-an, kata Iosifidis.
"Sekiranya hujan tidak turun dalam masa terdekat, paras tasik akan menurun lagi dan masalahnya akan menjadi lebih meruncing daripada sebelum ini," katanya.
Anastasis Papageorgiou, 26, seorang doktor yang tinggal di Amygdalia, sebuah kampung berhampiran Mornos, berkata kawasan itu mengalami sedikit hujan dalam tempoh dua tahun lepas.
"Keadaan sukar pada masa ini, jadi kami perlu berhati-hati (tidak membazir) dengan air," katanya. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon