Seorang lelaki diperintahkan membayar ganti rugi lebih 700 juta won (RM2.26 juta) kepada syarikat penerbangan Asiana Airlines kerana membuka pintu kecemasan pesawat pada pertengahan tahun lalu, lapor portal berita VnExpress pada 5 September 2024.
Mahkamah Daerah Daegu, Korea Selatan memutuskan bahawa penumpang berusia 32 tahun yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lee perlu membayar jumlah ganti rugi itu.
Ini adalah kerana dia telah melakukan kemusnahan dan kerosakan harta benda, demikian menurut akhbar Korea, Joongang Daily.
Mahkamah sama turut memutuskan bahawa tindakan Lee menyebabkan para penumpang terpaksa turun daripada pesawat tersebut dengan menggunakan gelongsor kecemasan.
Pada Mei tahun lalu, semasa penerbangan dari Jeju ke Daegu dengan 194 penumpang berada di dalam pesawat tersebut, Lee membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang itu bersiap sedia untuk mendarat pada ketinggian antara 213 hingga 243 meter.
Insiden itu menyebabkan sembilan penumpang dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.
Lee kemudiannya ditangkap oleh polis kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan dan menyebabkan kerosakan pada pesawat.
Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan menganggarkan kos pembaikan untuk pintu kecemasan yang rosak dan gelongsor adalah sekitar 640 juta won (RM2.07 juta), lapor Korea Bizwire. - Sumber VN Express.
EmoticonEmoticon