Seekor penguin di Jepun, baru-baru ini, ditemukan selamat dan dalam keadaan sihat selepas dua minggu lari ke laut, dalam apa yang disifatkan oleh penjaganya sebagai 'ajaib'.
Pen-chan, seekor penguin Afrika betina yang dilahir dan dibesarkan dalam kurungan, tidak pernah berenang di laut terbuka, lari dari sebuah acara di wilayah tengah Aichi pada 25 Ogos lalu.
Disebabkan terdesak, penjaganya, Ryosuke Imai berkata, sebuah pasukan segera melakukan operasi mencari Pen-chan, serta-merta, namun taufan besar dan hujan lebat melanda Jepun, menghalang pencarian itu.
Memandangkan Pen-chan tidak pernah mencari makanan sendiri, pasukan itu menyangka haiwan itu tidak akan dapat bertahan hidup lebih lama dari seminggu.
Bagaimanapun, pada 8 September lalu, Imai mendapat maklumat burung itu 'bersuka ria' di sebuah pantai yang terletak kira-kira 45 kilometer dari tempat asalnya.
"Saya fikir ia akan kelihatan keletihan, tetapi ia sedang berenang-renang seperti biasa," dedah Imai kepada AFP selepas haiwan itu berjaya ditangkap semula.
"Saya benar-benar tidak menjangkakannya... ia satu keajaiban," katanya.
Imai berkata, Pen-chan yang berusia enam tahun berkemungkinan memakan ikan dan ketam.
"Saya rasa ia tiba di sana dengan berhenti di beberapa tempat untuk berehat, tetapi ia masih sukar untuk dipercayai.
"Berat badannya turun sedikit, tetapi ia melakukan yang terbaik," kata Imai. - Sumber The Guardian.
EmoticonEmoticon