Sabtu, 28 September 2024

Paip tangki septik pecah, najis manusia setinggi 10 meter hujani kenderaan


Sebatang paip tangki septik pecah di jalan raya yang sedang dalam pembinaan di Guangxi, China menyebabkan letusan setinggi lebih 10 meter, lapor portal berita MSNews pada 26 September 2024.


Kejadian itu berlaku pada hari Selasa (26 September) dan hampir memecahkan cermin belakang sebuah kereta.


Rakaman video kamera papan pemuka sebuah kenderaan dari arah bertentangan turut merakamkan najis yang menghujani kereta.


Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Perbandaran Nanning, kejadian itu berpunca daripada saluran paip tangki septik yang pecah.


Bagaimanapun, tiada sesiapa cedera dalam letusan itu. Namun, terdapat beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan. Selepas menerima laporan orang ramai, pasukan pekerja pembersihan dihantar ke tempat kejadian.


Memetik laporan yang dimuat naik di laman web berita tempatan, ET Today, kejadian tersebut berlaku berikutan ujian tekanan yang sedang dilakukan oleh jurutera yang bertauliah.


Kejadian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata terfikirkan nasib pekerja di pusat cucian kereta yang terpaksa mencuci kenderaan mangsa kejadian.


Ramai netizen memberi komen mengulas ia merupakan kejadian menjijikkan. Ada juga yang bergurau dengan menulis bau najis boleh dihidu melalui skrin tayangan kejadian itu. - Sumber MSNews.


Letusan paip tangki najis di Guangxi. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon