Seorang lelaki di China mengalami pengalaman menakutkan apabila lipas tersangkut di saluran pernafasannya selama tiga hari.
Oddity Central melaporkan, lelaki berusia 58 tahun dari Haikou dekat wilayah Hainan, menyedari ada yang tidak kena dengannya selepas berasa sesuatu merayap dalam hidung dan kerongkongnya pada satu malam.
Keadaan itu menyebabkan lelaki itu terjaga hingga terbatuk sebelum dia tidur semula.
Keesokannya, dia meneruskan kerja dengan menjalankan perniagaannya seperti biasa sebelum menyedari nafasnya berbau.
Selepas tiga hari, nafas lelaki itu masih berbau dan dia batuk dengan kahak kuning, jadi individu itu pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Lelaki yang tidak dinamakan itu pada awalnya pergi ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Hainan, tetapi pemeriksaan pada saluran pernafasan atas mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan.
Dr Lin Ling iaitu pakar perubatan pernafasan dan rawatan kritikal di hospital itu kemudian menjalankan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), sebelum mendapati ada bayang yang menunjukkan objek asing.
Berikutan itu, lelaki berkenaan disyorkan menjalani prosedur bronkoskopi invasif minimum iaitu memasukkan alat khas melalui rongga mulut.
"Ketika prosedur, saya dengan jelas melihat sesuatu dengan sayap di saluran pernafasan.
"Benda asing itu dibalut dengan banyak kahak. Selepas menyedut kahak di sekeliling, bendasing terdedah. Ia adalah lipas," kata Dr Lin.
Selepas mengeluarkan pepijat dari trakea lelaki terbabit, doktor membersihkan kawasan itu berulang kali daripada kahak sebelum bau busuk hilang sepenuhnya tidak lama kemudian.
Lelaki itu pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang keesokan harinya. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon