Seorang lelaki Jepun berusia 38 tahun ditahan kerana mengintip isterinya sendiri dengan cara menghubungi wanita itu lebih 100 kali sehari tanpa bersuara apa-apa.
Oddity Central semalam melaporkan, wanita berusia 31 tahun berasal dari Amagasaki di wilayah Hyogo, mula menerima panggilan aneh itu pada 10 Julai lalu.
Gangguan itu berterusan selama berminggu-minggu, kerana panggilan itu datang daripada nombor telefon tanpa nama, jadi wanita muda itu tidak boleh menyekat panggilan tersebut.
Dalam kebanyakan hari, wanita itu akan menerima puluhan panggilan tetapi ada ketika, telefonnya akan berbunyi lebih 100 kali sehari.
Bagaimanapun, tiada panggilan diterima pada waktu malam atau ketika dia sedang bermain 'games' menggunakan telefon bimbit suaminya, yang menyebabkan wanita itu curiga terhadap identiti si pemanggil misteri.
Akibat berlarutan lama, wanita itu yang terdesak mahu mendedah pemanggil misteri terbabit mula menganalisis corak panggilan yang dibuat serta mengesyaki ia perbuatan suaminya.
Ini kerana satu-satunya masa yang dia tidak menerima panggilan telefon adalah pada waktu malam ketika mereka tidur bersama dan ketika dia menggunakan telefon bimbit lelaki itu untuk main 'games'.
Wanita berkenaan membuat laporan polis untuk menyelesaikan misteri berkenaan dan hasil siasatan mengesahkan pelaku adalah suaminya yang kemudian ditahan pada 4 September lalu kerana melanggar undang-undang anti pengintip Jepun.
Ketika ditanya punca dia bertindak demikian, lelaki itu menjawab, "saya sayang isteri saya dan membuat panggilan telefon kepadanya tanpa bersuara apa-apa."
Baginya, tindakan sedemikian adalah bukti cinta agungnya kepada isteri.
Pihak berkuasa memaklumkan kes mengintip pasangan jarak jauh bukan baharu di Jepun, namun kes di Amagasaki itu adalah yang pertama membabitkan pasangan yang tinggal bersama. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon