Ahad, 4 Ogos 2024

Taktik GRO, warga asing sembunyi di bilik rahsia dalam tandas terbongkar


Taktik 11 warga asing termasuk sembilan wanita pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Ipoh, pada awal pagi tadi terbongkar apabila mereka berjaya dicekup pihak berkuasa.


Pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menggunakan penukul dan pemotong besi untuk membuka pintu di sebalik dinding jubin dalam tandas premis berkenaan.


Operasi memotong jubin dan pintu konkrit itu mengambil masa hampir sejam untuk membuka dan menahan kesemua warga asing terdiri sembilan wanita warga China dan dua lelaki warga Bangladesh.



Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata 11 individu itu antara 53 warga asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di dua pusat hiburan berasingan di Greentown dan Taman Canning, Ipoh.


Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun.


"Operasi yang dijalankan hampir lima jam bermula jam 1.30 pagi melibatkan 26 pegawai termasuk polis telah memeriksa 175 warganegara asing dan tempatan.


"Daripada jumlah itu, 53 orang yang ditahan terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita Vietnam, seorang wanita Thailand, seorang wanita Indonesia dan 10 lelaki Bangladesh," katanya.


Meor Hezbullah berkata, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.


"Siasatan dan tindakan lanjut dilakukan mengikut proses undang-undang kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan," katanya.


Tambah beliau, pihaknya berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam negara ini.


Wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO antara 53 yang ditahan dalam Op Gegar di Ipoh. - Foto ihsan Imigresen.


EmoticonEmoticon