Rabu, 21 Ogos 2024

Mula-mula perang mulut akhirnya bergaduh di sebuah restoran


Bermula dengan pertengkaran mulut akhirnya telah membawa kepada pergaduhan yang menyebabkan seorang cedera dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tok Ungku, Seremban, pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima aduan daripada remaja berusia 17 tahun pada pukul 4.25 petang, Isnin lalu menyatakan dia telah dipukul dua lelaki yang dikenalinya.


Menurutnya, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku ketika mangsa sedang berada di restoran berkenaan.


"Semasa mangsa berada di sebuah restoran itu, dia telah dipukul oleh dua rakannya berusia 16 dan 18 dengan menggunakan tangan dan kerusi di bahagian badan dan kepala.


"Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes mendatangkan kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sejak semalam tular sebuah video pergaduhan berdurasi 41 saat membabitkan sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di sebuah restoran.


Setakat ini dua suspek berusia 16 dan 18 tahun telah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang giat dijalankan.


Tangkap layar video tular berkenaan. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon