Jumaat, 16 Ogos 2024

Macam aksi dalam filem, lelaki panjat lori bergerak curi rim tayar


Sebuah video menunjukkan seorang lelaki sedang mencuri rim kereta dari sebuah lori yang sedang bergerak di Jalan Yos Sudarso, Kampung Mabar, Bandaraya Medan, wilayah Sumatera Utara, tular di media sosial sejak Khamis lalu (15/8/2024).


Dalam video tersebut, lelaki berbaju hitam masuk ke dalam sebuah lori yang sedang bergerak. Lelaki itu kemudian dilihat mengambil rim kereta dan membalingnya ke atas jalan raya.


Sementara itu, seorang rakan subahatnya dilihat mengekori lori tersebut menggunakan motosikal.


Ketua Polis Daerah Medan Labuhan, Komisioner Polis Panggil Sarianto Simbolon berkata, insiden itu berlaku pada Rabu (14/8/2024), manakala kedua-dua suspek berjaya ditahan.


"Kami segera bertindak balas selepas mendapat maklumat daripada media sosial mengenai pencurian ini.


"Siasatan dan penahanan dilakukan dalam masa tiga jam dari maklumat yang diperoleh," kata Panggil Sarianto Simbolon.


Polis Medan Labuhan berjaya mendapatkan barang bukti berupa rim yang dicuri, sepasang seluar pendek kuning, dan sebuah motosikal jenis Yamaha Legenda Z yang digunakan penjenayah ketika melakukan aksi tersebut.


Jika disabit bersalah, kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Fikram, 24, dan Fanes, 32, berdepan hukuman penjara lima tahun. - Sumber DetikSumut.


Salah seorang pencuri tersebut memanjat ke atas lori dan mencuri rim tayar. - Foto Detik.

Rim kereta yang dicuri suspek. - Foto Istimewa.


EmoticonEmoticon