Sabtu, 24 Ogos 2024

Berlian kedua terbesar di dunia bernilai lebih RM175 juta ditemui di Botswana

 

Berlian luar biasa seberat 2,492 karat iaitu yang kedua terbesar di dunia ditemukan di Botswana, kata syarikat perlombongan berpangkalan di Kanada yang menemukan batu berharga itu dan ia diumumkan Khamis lalu.


Berlian itu ditemukan di Lombong Berlian Karowe di timur laut Botswana, sebuah negara yang kaya dengan mineral di selatan Afrika, dengan menggunakan teknologi x-ray, kata Lucara Diamond Corp dalam kenyataan.


Lucara tidak memberikan anggaran nilai penemuan itu. Dari segi karat, berlian itu kedua terbesar selepas Berlian Cullinan seberat 3,016 karat yang ditemukan di Afrika Selatan pada 1905.


"Kami sangat gembira dengan penemuan berlian 2,492 karat yang luar biasa ini," kata Presiden Lucara Diamond Corp, William Lamb dalam kenyataan itu.


Pengarah Urusan Lucara Diamond Corp Botswana, Naseem Lahri, menyampaikan batu lut sinar itu, yang sebesar tapak tangan, kepada Presiden Mokgweetsi Masisi di pejabatnya pada Khamis.


Botswana adalah satu daripada pengeluar berlian terbesar di dunia. Berlian antara pendapatan utamanya dengan menyumbang 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 80 peratus daripada eksportnya, menurut angka Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Akhbar Financial Times melaporkan bahawa orang yang rapat dengan Lucara Diamond Corp yang enggan dikenali menganggarkan berlian itu boleh bernilai lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM175 juta).


Lucara Diamond Corp berkata, ia membayar royalti sebanyak 10 peratus daripada nilai jualan kasar berlian yang dihasilkan dari Karowe kepada kerajaan.


Berlian besar yang ditemui di Botswana diletakkan di atas meja di dalam pejabat Presiden di Gaborone. - Foto AFP.

Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi memegang berlian besar yang ditemui di Botswana di pejabatnya di Gaborone. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon