Seorang lelaki berusia 45 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh jirannya kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin, lapor saluran berita Tribun News semalam.
Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, wilayah Sumatera Utara pada Isnin 29 Julai lalu.
Suspek bernama Parlindungan Siregar dilaporkan memukul mangsa, Asgim Irianto, 60, menggunakan kayu sehingga meninggal dunia.
Menurut pegawai polis tempatan, AKP Maria, suspek dipercayai memukul mangsa akibat berang kerana ditanya bila hendak berkahwin.
"Mangsa sempat melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek dan dipukul berkali-kali di bahagian kepala.
"Pembunuhan itu berhenti selepas seorang individu meleraikan mereka dan mengambil kayu tersebut," kata AKP Maria.
Walaupun telah dibantu, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.
"Masyarakat membantu mangsa untuk dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.
"Setibanya di puskesmas, pihak puskesmas menyatakan mangsa sudah meninggal dunia," kata Maria, Rabu (31/7/2024).
Polis berjaya menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk disoal siasat. - Sumber Tribun News.
EmoticonEmoticon