Seorang penumpang Jetstar pesawat tambang murah Australia, membuka pintu kecemasan dan keluar dengan menaiki sayap dan enjin, selepas pesawat itu mendarat di Melbourne pada Khamis, kata pegawai.
"Kami boleh mengesahkan bahawa seorang penumpang membuka pintu keluar kecemasan selepas (pesawat) tiba di Melbourne, yang secara automatik membuka gelongsor itu. Pesawat itu berhampiran pintu pelepasan," kata jurucakap Jetstar.
Selepas keluar melalui pintu keluar kecemasan, lelaki itu berjalan di sepanjang sayap sebelum turun ke tanah melalui enjin, kata pegawai.
Sky News melaporkan bahawa lelaki itu mundar-mandir sebelum dia membuka pintu keluar, dengan pramugari dan penumpang mendesaknya untuk duduk.
Penumpang itu telah ditangkap oleh polis persekutuan Australia dan penumpang yang selebihnya turun dari pesawat tidak lama kemudian.
Audrey Varghese, antara penumpang lain dalam penerbangan itu, memberitahu radio Melbourne 3AW, lelaki itu menunjukkan kelakuan yang agak pelik termasuk tidak mengendahkan keperluan pemakaian tanda tali pinggang keledar dan beberapa permintaan daripada pramugari supaya dia kekal duduk.
"Orang ramai fikir ia agak pelik. Dan sebaik sahaja pesawat itu mula berhenti, dia segera bangun dan ke tempat laluan keluar kecemasan.
Dalam proses tindakannya itu, dia menolak orang lain menyebabkan berlaku sedikit kekecohan," kata Varghese.
Lelaki itu kemudian membuka pintu kecemasan dan melompat dari pesawat menyebabkan ada penumpang yang menjerit kerana ketakutan, tambah Varghese.
"Saya juga rasa orang ramai hanya menjerit kerana tingkah laku itu pelik," katanya.
Polis persekutuan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana dakwaan berkelakuan agresif dan melanggar protokol keselamatan pesawat dalam perkhidmatan domestik.
"Lelaki itu diperiksa oleh pegawai dari ambulans yang dikejarkan ke lokasi dan kemudian dia dipindahkan ke hospital untuk penilaian lanjut," kata jurucakap polis.
Polis berkata, mereka masih melakukan siasatan tetapi pendakwaan mungkin akan dibuat pada tarikh akan datang. - Sumber The Guardian.
EmoticonEmoticon