Sabtu, 31 Ogos 2024

20 letupan kedengaran selepas 31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar


Lebih 20 letupan kedengaran selepas 31 buah kenderaan terbakar di atas bumbung Menara Golden Mile, Beach Road, Singapura tengah hari tadi, lapor portal berita AsiaOne.


Sejumlah kenderaan yang mempunyai jenama sama itu terbakar dalam kejadian tersebut. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berada di lokasi kejadian.


AsiaOne bercakap dengan saksi dikenali sebagai Chua yang pejabatnya Welcab.sg terletak di tingkat 14 Menara Golden Mile. Pejabatnya menghadap tempat letak kereta itu di tingkat 7 sebuah bangunan berdekatan.



"Saya datang dari makan tengah hari kira-kira pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) apabila saya perasan tiga buah kereta yang diletakkan di sudut kanan terbakar.


"Ketika itu, kenderaan polis pertama sudah berada di tempat kejadian dan anggota-anggota dilihat pantas membuat panggilan. Kami mula berpindah tidak lama kemudian," kata Chua.


Tambahnya, lebih 20 letupan kedengaran dalam kejadian itu.


SCDF berkata dalam satu kenyataan di laman Facebook bahawa pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu. Ia menjelaskan, penemuan awal menunjukkan kereta-kereta itu bukan kenderaan elektrik.


Seramai 45 orang dipindahkan dari premis itu oleh polis dan SCDF, dengan tiga mangsa terhidu asap tetapi enggan dihantar ke hospital.


Gambar yang diserahkan kepada AsiaOne menunjukkan sebanyak 31 kenderaan rosak akibat kebakaran itu. Punca kejadian masih dalam siasatan. - Sumber Asia One.


Sebanyak 31 kenderaan terbakar di Menara Golden Mile, Singapura. - Foto Facebook/Masterpiece Collectibles, Welcab.sg/ Chua.


EmoticonEmoticon