Seorang YouTuber yang digelar sebagai 'penunggang motosikal paling cantik' di internet, maut dalam kemalangan motosikal ketika bercuti di Turkiye, lapor Mirror UK pada 26 Julai 2024.
Tatyana Ozolina atau lebih dikenali sebagai MotoTanya, 38, meninggal dunia ketika dalam perjalanan antara Mugla dan Bodrum.
Wanita itu dilaporkan menunggang BMW S1000RR berwarna merah apabila motosikalnya dilanggar oleh motosikal rakannya daripada konvoi yang sama.
Dia membrek secara mengejut dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori dekat Milas. Tatyana mengalami kecederaan parah termasuk luka di leher.
Dia sedar selepas nahas berlaku tetapi tidak dapat bertahan lama dan meninggal dunia sebelum ambulans tiba.
Seorang penunggang motosikal Turkiye, Onur Obut yang bersamanya parah manakala seorang lagi penunggang tidak cedera.
Tatyana dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 13 tahun. Dia berada di Turkiye selepas tidak dapat memasuki Eropah di sempadan Greece kerana halangan peperangan.
Polis masih menyiasat kemalangan itu, tetapi laporan mengatakan bahawa dia hilang kawalan selepas motosikalnya dipintas penunggang motosikal lain.
Ketua Persatuan MotoMoscow, Andrei Ivanov, memberi penghormatan kepada bintang media sosial itu.
"MotoTanya tidak bersama kami lagi. Dia mempunyai kehidupan yang cerah dan indah. Berjuta-juta orang mengikutinya. Mungkin tidak ada seorang penunggang motosikal di negara ini yang tidak peduli dengan Tatyana.
"Dia dipuja, dicemburui, dikagumi, ditiru, dianugerahkan sebagai blogger terkemuka dan, pada masa yang sama, dibincangkan dan difitnah. Kini yang tinggal hanyalah ingatannya. Tidurlah dengan lena," tulisnya.
Tatyana Ozolina mempunyai pengikut dalam talian dengan 5 juta peminat di TikTok, 2 juta di YouTube dan satu juta pengikut Instagram. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon