Ahad, 21 Julai 2024

Raja dadah akhirnya tertangkap sebab isteri 'tag' lokasi di Instagram


Gara-gara isteri aktif mempamerkan gaya hidup di Instagram (IG), seorang 'raja dadah' Brazil akhirnya ditangkap polis, baru-baru ini, selepas lelaki itu diburu selama dua tahun.


Ia apabila pihak berkuasa berjaya menjejaki lokasi berdasarkan hantaran wanita terbabit di media sosial itu.


Metro UK melaporkan Ronald Roland, 50, ditangkap di kondominiumnya di bandar pantai Guaruja kerana disyaki menjalankan pengubahan wang haram dan terbabit dengan kartel dadah di Mexico.


Pihak berkuasa berkata, Roland mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan dadah Mexico.


Lelaki itu ditahan ketika isteri keduanya, Andrezza de Lima Joel dan anak perempuan mereka sedang tidur di kondominium.


Polis berjaya mengesan Ronald selepas Andrezza menyiarkan gambar pasangan itu di IG, menurut rancangan hal ehwal semasa TV Globo, Fantastico.


Andrezza mempamerkan perjalanan mewah suaminya ke Paris, Dubai, Maldives dan Colombia yang secara tidak sengaja maklumat di platform media sosial itu membantu polis memantau keberadaan Roland.


Tetapi bukanlah kali pertama Roland berjaya ditahan kerana aktiviti media sosial isterinya, sebaliknya sudah kali kedua 'dikantoikan' isterinya dalam IG.


Sebelum ini, Roland ditangkap pada Julai 2019, yang mana pada masa itu, dia berada dalam senarai dikehendaki Polis Antarabangsa. Pada masa itu, bekas isterinya menandakan lokasi pasangan itu di media sosial, sebagai di Zon Timur Sao Paulo. Dia dibebaskan pada tahun berikutnya.


Roland dikatakan mengumpul kekayaan 5 bilion Real (kira-kira RM4.3 bilion) dalam tempoh lima tahun, kata polis persekutuan.


Polis persekutuan Selasa lalu berkata bahawa 280 pegawai menahan lapan orang termasuk Roland sebagai sebahagian daripada serbuan di tujuh negeri.


Tiga puluh empat kereta mewah, dua jet peribadi, jam tangan mewah, senjata dan wang tunai dirampas. - Sumber Metro UK.


Roland ditahan pada 2019 selepas isteri pertamanya menandai lokasinya di media sosial. - Foto Policia Federal.

Andrezza gemar menyiarkan gambarnya bersama suami di IG. - Foto TV Globo.

Polis telah merampas 34 kereta mewah. - Foto Policia Federal.


EmoticonEmoticon