Isnin, 29 Julai 2024

Polis trafik parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus


Seorang anggota polis trafik dan remaja lelaki parah selepas kedua-dua motosikal ditunggang dipercayai bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, awal pagi Ahad.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.


"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.


"Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain," kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.


Menurutnya, ketika kejadian, remaja itu menunggang motosikal secara lawan arus sebelum didakwa merempuh anggota yang juga sedang menunggang motosikal.


Ujarnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur.


"Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram," katanya.


Polis trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal bertembung di KM36 (S) Lekas. - Foto ihsan polis.

Keadaan motosikal salah seorang mangsa sebaik kejadian. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon