Penstrim dari China yang terkenal dengan video mukbang (makan makanan dalam kuantiti yang banyak untuk keseronokan penonton) baru-baru ini, meninggal dunia ketika bersiaran langsung.
Oddity Central melaporkan, Pan Xiaoting yang berusia 24 tahun dilaporkan meninggal dunia pada awal bulan ini selepas badannya lesu akibat makan berlebihan.
Hasil bedah siasat menunjukkan perutnya dipenuhi dengan makanan yang tidak dihadam.
Xiaoting pernah bekerja sebagai pelayan, tetapi memutuskan untuk menjadi penstrim mukbang selepas menonton individu yang berjaya menjana wang, dan mengumpul peminat dengan hanya merakamkan diri mereka makan banyak makanan.
Cabaran awal dihadapi Xiaoting adalah untuk mengumpul pengikut tetapi dia mula mendapat perhatian apabila mula meningkatkan jumlah makanan yang dimakan.
Pada mulanya, gadis itu hanya menjadikan apa dilakukan sebagai kerja sampingan tetapi lebih aktif apabila jumlah penonton meningkat, dan mula melihatnya sebagai kerjaya berpotensi.
Xiaoting akhirnya berhenti kerja dan menyewa sebuah rumah yang digunakannya sebagai studio untuk menghasilkan video mukbang.
Xiaoting bagaimanapun mengabaikan kesihatannya selepas mengumpul pengikut, malah melakukan pelbagai cabaran melampau untuk menarik penonton.
Ibu bapanya sentiasa memberi amaran kepadanya mengenai bahaya makan terlalu banyak, begitu juga dengan sebahagian individu yang menonton videonya.
Bagaimanapun, dia sentiasa membalas dengan berkata: "Jangan risau, saya boleh mengatasinya".
Difahamkan, Xiaoting pernah dimasukkan ke hospital dan disahkan mengalami pendarahan gastrik yang disebabkan oleh makan berlebihan.
Dia diberi rawatan dan kemudiannya dibenarkan discaj, namun kembali aktif memuat naik video mukbang. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon